Monday, 30 September 2013

KHILAFAH SEORANG PEMUDA

Dalam setiap kurun waktu, kelmarin, kini dan esok, pemuda sentiasa berdiri di garisan hadapan . Baik sebagai pembela kebenaran yang gigih mahupun pembela kebatilan yang canggih. Periodisasi sejarah Malaysia moden memiliki keunikan tersendiri dalam melukis peranan pemuda menjayakan semua gerakan pembentukan Negara dan bangsa. Ia diasaskan  oleh kecemerlangan peranan pemuda disepanjang  sejarah peradaban Melayu yang bermula dengan Zaman Empayar Melaka bahkan empayar dunia yang lain. Simbol kecermelangan, kegemilangan dan keperkasaan para pemuda waktu itu antaranya ialah Laksamana Lima Bersaudara;  Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kesturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu.
            Rentetan sejarah yang berlaku khususnya di Malaysia menunjukkan babak peranan anak muda itu sudah terserlah sejak dahulu lagi, bahkan sekiranya kita kembali kepada sirah para anbiya seperti kisah nabi Yusuf, Ibrahim  yang berjuang pada waktu mudanya dalam bersolidariti untuk kemaslahatan ummat serta obligasinya terhadap arahan tuhan yakni Allah azza wa jalla. Rentetan sejarah melihatkan peranannya diteruskan sehingga pada hari ini, namun tidak ketinggalan didalam mana-mana perjuangan akan ada sahaja onar dalam duri, dalam perjuangan seperti mana permulaan bicara ini iaitu “pemuda sentiasa berdiri di garisan hadapan, baik sebagai pembela kebenaran yang gigih mahupun pembela kebatilan yang canggih” ini adalah norma dalam perjuangan dan sayugianya para pejuang kebenaran bersiap sedia dalam rintangan yang akan mendatang.
             Tidak dinafikan bahawa golongan anak muda tanpa mengira bangsa dan agam bergiat aktif dalam berpartisipasi dalam hal-hal politik, ekonomi, pentadbiran, pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Berani saya katakana bahawa sudah banyak persatuan-persatuan anak muda yang mulai bertapak dan menunjukkan belangnya dalam arena politik dan sebagainya.  Contohnya, SMM, GM13, GAMIS, UMANY, ASPIRASI, Aman Kampus, Kami Sayang PM dan lain-lain. Merupakan contoh partisipasi anak muda yang dikenali sebagai generasi Y yang bergiat aktif dalam isu-isu setempat dan samada dalam skop yang kecil mahupun skop yang luas. Kelantangan mereka dalam hal-hal tertentu mendapat perhatian pelbagai pihak mahupun kerajaan atau pembangkang, ini kerana isu yang dibawa adalah bersifat sejagat, kontemporari, futuristik yang mana akan memberi kesan kepada kemaslahatan khususnya rakyat. Isu berkenaan TPPA, GST, subsidi bahan api, pilihanraya umum , krisis Syria, Pengulingan Morsi, Palestin, rasuah dalam pentadbiran, AUKU dan lain-lain adalah antara isu-isu yang diketengahkan oleh mereka melalui lajnah dan kaedah mereka yang tersendiri. Maka wajar anak muda pada hari ini berpartisipasi dalam hal-hal yang lebih bermanfaat kepada Negara dan tidak pula menafikan hal-hal manfaat yang lain yang dilakukan oleh mana-mana badan yang lain.
            Dalam pilihanraya yang lalu saya lihat partisipasi anak muda sangat tinggi. Mereka bukan sekadar menjadi pengundi malah terlibat juga dalam kempen. Pada hemat saya, ini adalah satu perkara yang sangat positif dan perlu diberi pujian. Ini menunjukkan bahawa anak muda mahu dilibatkan bersama dalam perancangan dan pelaksanaan polisi negara. Apatah lagi banyak dasar-dasar yang diputuskan memberi kesan langsung dalam kehidupan mereka seperti ekonomi, pendidikan dan kesihatan.Memang tidak dinafikan ada sesetengah anak muda mungkin meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan cara tidak betul. Malah ada yang terlalu radikal sehingga membawa kepada penangkapan. Namun apa yang perlu difokuskan disini ialah kesinambungan anak muda itu mampu diteruskan dengan berasaskan ilmu pengetahuan yang mantap dan kesedarannya untuk dimanfaatkan pada manusia sejagat.
            Pada peringkat anak mudak ramai dikalangan mereka gemar mengikut emosi, tinggal lagi pihak yang lebih berpengalaman perlu memberi ruang kepada mereka untuk menyalurkan tenaga atau cakra anak muda ini ke jalan yang betul. Di sinilah peranan NGO-NGO belia untuk membimbing dan memastikan perjuangan anak muda sentiasa mengikut lunas undang-undang dan memberi manfaat kepada masyarakat. Kuasa anak muda yang tidak terkawal hanya menyebabkan kekacauan yang berpanjangan. Pihak berkuasa juga telah mengumumkan satu perdamaian kebangsaan. Tindakan ini saya fikir akan membawa kepada pengukuhan Bangsa Malaysia. Di sinilah pihak berkuasa perlu memberi anak muda lebih banyak peranan untuk memastikan kejayaan dasar ini. Tidak tepat sekiranya perbincangan tentang Bangsa Malaysia hanya berkisar di antara generasi lama walhal generasi muda yang akan menentukan bentuk mana yang sesuai untuk dilaksanakan pada masa hadapan. Pemimpin sekarang baik dari parti pemerintah atau pembangkang perlu memberi kerangka manakala pelaksanaan pula biarlah anak muda yang menentukan. Dengan memberi peranan yang lebih besar, maka rasa tidak puas hati anak muda kini dapat disalurkan pada perjuangan yang lebih membina.

            Pendek kata, para pemuda adalah calon utama untuk merehabilitasi masadepan sekali gus membawa agama dan tanahair berada dalam zaman yang penuh dengan keajaiban inovasi dan sistem kehidupan baru dengan dengan akhlak dan aqidah yang kukuh. Para pemuda tidak sepatutnya menjadi sekam yang menyalakan kebakaran kerana terlalu taksub pada sesuatu ideology terutama kancah kepolitikan sehingga sanggup menentang kebajikan, keilmuan dan kebersamaan dan lebih malang sekiranya sanggup pula berseteru dengan keimanan dan ketaqwaan. Sedangkan masadepan yang diharapkan dari para pemuda-pemudi ialah untuk bersekutu buat perubahan dalam menjayakan kehidupan yang lebih berjaya dari kegagalan yang berlaku dalam generasi sebelumnya.

No comments:

Post a Comment