BOIKOT PRODUK
PRO-ISRAEL, BUKAN PRODUK YAHUDI.
Baru-baru ini
kita digemparkan dengan serangan besar-besaran Zionis Israel dan kecomelan
Panda yang telah menyebabkan kerajaan Malaysia sanggup berhabis puluhan jutaan
ringgit demi Panda yang ‘tercinta’. Dan ramai dikalangan kita sibuk melaungkan
boikot produk yahudi tanpa mellihat pro dan kontra, tanpa kajian yang terperinci
mengenai Yahudi dan Israel, dan mana syarikat yang menyokong zionis Israel dan
tidak.
Semua
pengetahuan ini sangat penting bagi mengelakkan kita memboikot membabi buta
semua produk Yahudi, kerana kebergantungan Malaysia terhadap produk-produk
Yahudi sangat besar peratusannya. Manakan tidak, ratusan syarikat-syarikat
Yahudi telah mempunyai pasaran yang kukuh di Malaysia dan struktur ekonomi
Malaysia yang banyak bergantung kepada negara luar seperti Amerika Syarikat.
Pasaran eksport negara kita
bergantung kepada negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun sekian
lama ini. Lebih-lebih lagi, banyak produk komersial yang dieksport Malaysia
adalah pembuat peralatan asal (Original Equipment Manufacturer, OEM), bahan
perantaraan yang digunakan untuk menghasilkan produk akhir. Oleh itu, ketika
kemelesetan ekonomi Amerika-Eropah pada tahun 2008/09, jumlah eksport Malaysia
telah jatuh 16.6% dan pada masa yang sama, import negara kita pada tahun yang
sama juga menurun 16.6%.
Satu kajian Asia Development Bank
(ADB) yang dikemukakan pada awal tahun 2010, berjudul The Ties that bind Asia, Europe and United States melaporkan bahawa, walaupun perdagangan
antara negara rantau Asia (melainkan Jepun) berkembang pesat, namun
kebanyakannya ditunjangi intermediate good, yang mana tujuan utamanya adalah
untuk kegunaan dieksport semula dan ini merupakan situasi ekonomi Malaysia pada
saat ini.
Bayangkan
sekiranya kita menutup pintu perdagangan
dengan semua syarikat Yahudi yang wujud di Malaysia, pastinya
ramai rakyat Malaysia yang menganggur, kemiskinan meningkat, inflasi tinggi,
nilai eksport kita rendah, krisis ekonomi, pelaburan dari luar merudum, dan
yang paling teruk ramai orang-orang Melayu dan Muslim yang akan paling merasa
tempiasnya.
Google, Facebook, Yahoo, Intel, IBM, dan sebagainya adalah
merupakan syarikat yang dimiliki AS dan dimiliki oleh individu yang berbangsa
yahudi. Oleh itu perlu kita jelas, yang mana produk yahudi dan mana produk
Israel, dan juga dalam banyak-banyak produk Yahudi yang mana menyokong
kekejaman Israel di Gaza.
Menurut ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, ada juga syarikat Yahudi yang menentang
peperangan ke atas Gaza selain menyifatkan langkah boikot ke atas semua produk
Israel disifatkan sangat mustahil direalisasikan."Kita tahu tidak boleh
boikot semua produk Yahudi. Ada juga barangan mereka yang tidak menyumbang terhadap
dana perang Israel,"
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menyenaraikan
hanya empat produk yang diboikot iaitu Colgate, Starbucks, Coca-cola dan
McDonald's. Dan ia telah dikenal pasti hasil jualan produk-produk ini
menyumbang kepada tabung Israel Yahudi. Dan usaha ini tidak akan memberi impak
yang besar kepada ekonomi Malaysia dan rakyat juga tidak ‘mati’ jika tidak
menggunakan empat produk ini. Banyak lagi pengganti jenama produk ini jika ia
diboikot.
Langkah untuk memboikot barangan keluaran pro-Israel hanya memberikan kesan jika ia dibuat secara
besar-besaran melibatkan masyarakat dunia. Usaha memboikot bukanlah usaha yang
sia-sia, sejak usaha boikot pada tahun 2002
lagi, ekonomi Israel telah menuju keruntuhan tanpa tanda-tanda pemulihan walaupun
begitu banyak dana dasalurkan dari US. Pada bulan Oktober 2002, Sharon memohon
USD10bilion sebagai bantuan kecemasan. Inflasi Israel sangat tinggi,
sehinggakan angka rasmi mencecah 4 kali ganda sasaran asal rejim zionis
tersebut. Cukai dinaikkan, begitu juga kos keperluan asas seperti makanan,
perumahan dan minyak. Israel sering dilanda piket umum sehinggakan semua
penerbangan terhenti, siaran radio dan television terputus, pesakit tidak
mendapat rawatan dan sampah tidak lagi dikutip. Pelaburan dari luar kian
meruncing. Mengapa? Dari tahun 1999 hingga 2001, pelabur-pelabur kerugian
USD5bilion daripada pelaburan mereka berjumlah USD6.5bilion. Jadi, peniaga mana
yang bersedia untuk melabur? Dalam situasi terdesak seperti ini, sudah tentu
usaha boikot tidak boleh dipandang remeh. Israel akan mengorek setiap sen untuk
diraih - pastikan wang anda tidak sedikit pun sampai kepada mereka.
Politik yang retorik yang hanya sekadar di mulut tidak akan
bermakna, kerana sibuk kita mengecam dan memboikot, kerajaan masih lagi membuka
pintu dan laluan kepada syarikat-syarikat atau produk-produk yang secara jelas
dimiliki oleh Israel dan secara jelas menyokong kekejaman Israel terhadap bumi
Palestin. Namun, setakat boikot tidak memadai, kita perlukan usaha yang lebih memberikan
impak yang lebih efektif dan kena pada sasarannya. Tidak cukup setakat parti
politik bagi statement yang retorik seperti “saya (Najib) mengecam kekejaman
Zionis Israel terhadap rakyat Palestin”.
Usaha yang lebih praktikal perlu dijalankan dengan merujuk
kepada Bab VII Piagam Bangsa-Bangsa
Bersatu, menyatakan
dengan jelas kuasa Bangsa-Bangsa Bersatu PBB untuk
mengekalkan kuasa. Ia membenarkan Majlis untuk "menilai kewujudan apa-apa
ancaman terhadap keamanan, pecah keamanan atau tindakan pencerobohan" dan
untuk mengambil tindakan ketenteraan dan bukan ketenteraan untuk
"mengembalikan keamanan dan keselamatan antarabangsa"
Walaupun pelbagai usaha damai cuba dilakukan dengan menggubal
perjanjian khas seperti Deklarasi Balfour, Perjanjian Nasional Palestina,
Perjanjian Perdamaian Oslo, dan sebagainya sejak dari 1920. Namun Israel tidak
mengendahkan perjanjian yang dimeterai dan melanggar satu-persatu demi
meneruskan agenda merampas Palestin, ini berpunca oleh kuasa veto kelima-lima
negara yang banyak mendominasi keputusan PBB khususnya dalam mengambil tindakan
terhadap kekejaman yang berlaku, dan isu ini seharusnya perlu dibawa oleh
Kerajaan Malaysia dibawah Najib Razak ke General Assembly UN untuk menghapuskan
kuasa Veto kelima-lima negara
daripada menguasai keputusan, sebab saya percaya tidakan secara bersama
dalam menentang Rejim Israel mampu menghentikan krisis kemanusiaan di Palestin.
Tuntasnya, Islam bukanlah agama yang rasis yang menilai
sesuatu perkara semata-mata kerana bangsa, dan agama, tetapi menilai atas apa
yang dilakukan sepertimana kekejaman Israel terhadap wanita-wanita, kanak-kanak
dan kebanyakan rakyat Palestin. Tidak adil dan sumbang sekiranya kita menilai sesuatu
kejahatan semata-mata kerana bangsa semata-mata dan sepatutnya tidak berkait
langsung atas nama ras.
Mohamad Ammar Atan
Universiti Malaya.