Dalam setiap kurun
waktu, kelmarin, kini dan esok, pemuda sentiasa berdiri di garisan hadapan .
Baik sebagai pembela kebenaran yang gigih mahupun pembela kebatilan yang
canggih. Periodisasi sejarah Malaysia moden memiliki keunikan tersendiri dalam melukis
peranan pemuda menjayakan semua gerakan pembentukan Negara dan bangsa. Ia
diasaskan oleh kecemerlangan peranan
pemuda disepanjang sejarah peradaban
Melayu yang bermula dengan Zaman Empayar Melaka bahkan empayar dunia yang lain.
Simbol kecermelangan, kegemilangan dan keperkasaan para pemuda waktu itu
antaranya ialah Laksamana Lima Bersaudara;
Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kesturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu.
Rentetan sejarah yang berlaku khususnya di Malaysia
menunjukkan babak peranan anak muda itu sudah terserlah sejak dahulu lagi,
bahkan sekiranya kita kembali kepada sirah para anbiya seperti kisah nabi
Yusuf, Ibrahim yang berjuang pada waktu
mudanya dalam bersolidariti untuk kemaslahatan ummat serta obligasinya terhadap
arahan tuhan yakni Allah azza wa jalla. Rentetan sejarah melihatkan peranannya
diteruskan sehingga pada hari ini, namun tidak ketinggalan didalam mana-mana
perjuangan akan ada sahaja onar dalam duri, dalam perjuangan seperti mana
permulaan bicara ini iaitu “pemuda sentiasa berdiri di garisan hadapan, baik
sebagai pembela kebenaran yang gigih mahupun pembela kebatilan yang canggih”
ini adalah norma dalam perjuangan dan sayugianya para pejuang kebenaran bersiap
sedia dalam rintangan yang akan mendatang.
Tidak dinafikan
bahawa golongan anak muda tanpa mengira bangsa dan agam bergiat aktif dalam
berpartisipasi dalam hal-hal politik, ekonomi, pentadbiran, pendidikan,
kesihatan dan sebagainya. Berani saya katakana bahawa sudah banyak
persatuan-persatuan anak muda yang mulai bertapak dan menunjukkan belangnya
dalam arena politik dan sebagainya.
Contohnya, SMM, GM13, GAMIS, UMANY, ASPIRASI, Aman Kampus, Kami Sayang
PM dan lain-lain. Merupakan contoh partisipasi anak muda yang dikenali sebagai generasi
Y yang bergiat aktif dalam isu-isu setempat dan samada dalam skop yang kecil
mahupun skop yang luas. Kelantangan mereka dalam hal-hal tertentu mendapat
perhatian pelbagai pihak mahupun kerajaan atau pembangkang, ini kerana isu yang
dibawa adalah bersifat sejagat, kontemporari, futuristik yang mana akan memberi
kesan kepada kemaslahatan khususnya rakyat. Isu berkenaan TPPA, GST, subsidi
bahan api, pilihanraya umum , krisis Syria, Pengulingan Morsi, Palestin, rasuah
dalam pentadbiran, AUKU dan lain-lain adalah antara isu-isu yang diketengahkan
oleh mereka melalui lajnah dan kaedah mereka yang tersendiri. Maka wajar anak
muda pada hari ini berpartisipasi dalam hal-hal yang lebih bermanfaat kepada
Negara dan tidak pula menafikan hal-hal manfaat yang lain yang dilakukan oleh mana-mana
badan yang lain.
Dalam pilihanraya yang lalu saya lihat partisipasi anak
muda sangat tinggi. Mereka bukan sekadar menjadi pengundi malah terlibat juga
dalam kempen. Pada hemat saya, ini adalah satu perkara yang sangat positif dan
perlu diberi pujian. Ini menunjukkan bahawa anak muda mahu dilibatkan bersama
dalam perancangan dan pelaksanaan polisi negara. Apatah lagi banyak dasar-dasar
yang diputuskan memberi kesan langsung dalam kehidupan mereka seperti ekonomi,
pendidikan dan kesihatan.Memang tidak dinafikan ada sesetengah anak muda
mungkin meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan cara tidak betul. Malah
ada yang terlalu radikal sehingga membawa kepada penangkapan. Namun apa yang
perlu difokuskan disini ialah kesinambungan anak muda itu mampu diteruskan
dengan berasaskan ilmu pengetahuan yang mantap dan kesedarannya untuk
dimanfaatkan pada manusia sejagat.
Pada peringkat anak mudak ramai dikalangan mereka gemar mengikut
emosi, tinggal lagi pihak yang lebih berpengalaman perlu memberi ruang kepada
mereka untuk menyalurkan tenaga atau cakra anak muda ini ke jalan yang betul. Di
sinilah peranan NGO-NGO belia untuk membimbing dan memastikan perjuangan anak
muda sentiasa mengikut lunas undang-undang dan memberi manfaat kepada
masyarakat. Kuasa anak muda yang tidak terkawal hanya menyebabkan kekacauan
yang berpanjangan. Pihak berkuasa juga telah mengumumkan satu perdamaian
kebangsaan. Tindakan ini saya fikir akan membawa kepada pengukuhan Bangsa
Malaysia. Di sinilah pihak berkuasa perlu memberi anak muda lebih banyak
peranan untuk memastikan kejayaan dasar ini. Tidak tepat sekiranya perbincangan
tentang Bangsa Malaysia hanya berkisar di antara generasi lama walhal generasi
muda yang akan menentukan bentuk mana yang sesuai untuk dilaksanakan pada masa
hadapan. Pemimpin sekarang baik dari parti pemerintah atau pembangkang perlu
memberi kerangka manakala pelaksanaan pula biarlah anak muda yang menentukan. Dengan
memberi peranan yang lebih besar, maka rasa tidak puas hati anak muda kini
dapat disalurkan pada perjuangan yang lebih membina.
Pendek kata, para pemuda adalah calon utama untuk
merehabilitasi masadepan sekali gus membawa agama dan tanahair berada dalam
zaman yang penuh dengan keajaiban inovasi dan sistem kehidupan baru dengan
dengan akhlak dan aqidah yang kukuh. Para pemuda tidak sepatutnya menjadi sekam
yang menyalakan kebakaran kerana terlalu taksub pada sesuatu ideology terutama
kancah kepolitikan sehingga sanggup menentang kebajikan, keilmuan dan
kebersamaan dan lebih malang sekiranya sanggup pula berseteru dengan keimanan
dan ketaqwaan. Sedangkan masadepan yang diharapkan dari para pemuda-pemudi
ialah untuk bersekutu buat perubahan dalam menjayakan kehidupan yang lebih
berjaya dari kegagalan yang berlaku dalam generasi sebelumnya.



